Laman Utama > Other > Panduan > Hikmah Melayu 1
  

Hikmah Melayu 1

Motif Tenunan Melayu mengandungi rahsia keilmuan dan keintelektualan Melayu. Selain bertindak sebagai hasil estetika dan kesenian, motif-motif tenunan Melayu menyampaikan makna yang tersirat kepada pemakainya. Hubungan akrab antara masyarakat Melayu dan alam akhirnya membuahkan ilham bagi motif-motif bersangkutan alam. Antaranya termasuklah motif ‘tampuk manggis’ dan ‘pucuk rebung’. 


Tampuk Manggis.jpg
Tampuk Manggis merupakan salah satu motif yang lazim dalam tenunan Melayu melambangkan hikmah dan nilai Melayu. Bagi orang Melayu, buah manggis membawa dua nilai simbolik.  Kelopak tampuk manggis yang terletak di bahagian bawah buah tersebut menjanjikan apa yang perlu kita penuhi.  Jumlah kelopak tampuk adalah sama dengan jumlah ulas isi buah manggis. Isinya yang putih melambangkan ‘kebersihan’, ‘kesucian’ dan ‘keluhuran’ nurani atau hati kita.  Hikmahnya adalah marilah kita bersikap luhur dengan memenuhi apa yang telah kita janjikan (Norwani Nawawi, 1989). 



Pucuk Rebung.jpg
Pucuk Rebung pula merupakan motif yang diilhamkan daripada pengamatan orang Melayu terhadap sifat pohon bambu. Pohon bambu dianggap sebagai pohon yang berpendirian tinggi dek sifatnya yang tidak mudah rebah sekalipun berhadapan dengan angin yang kencang. Budayawan Melayu mempunyai hikmah bahawa motif pucuk rebung adalah simbolik bagi ‘pohon hayat’ atau ‘bunga semangat’ sebagai manifestasi semula jadi.  Namun demikian, satu lagi pendapat ialah motif tersebut mewakili 'gunung' dan berpunca daripada titik Zat Allah. Motif tersebut memberi gambaran terhadap alam syahadah, alam misali dan alam arwah (Mohamad, 1984). Demikian halnya, motif tersebut kadangkala turut disebutkan sebagai motif 'gunungan'.


Awan Larat.jpg
Awan Larat merupakan motif yang tidak berpangkal mahupun berhujung tatkala digunakan dalam tenunan. Motif tersebut lazimnya digunakan bagi mengisi ruang-ruang kosong antara motif-motif yang terdapat pada sebuah karya songket. Motif tersebut merakamkan konsep keilmuan yang berpanjangan dan tidak berhujung. Hal ini barangkali berpunca daripada sifat motif awan larat yang 'berahsia' dek 'punca' yang kadangkala sengaja disembunyikan. Konsep awan larat turut dapat diperhatikan dalam seni ukiran dan logam Melayu. 




Rujukan
Mohamad, A. (1984). Falsafah dan Pemikiran Orang-orang Melayu: Hubungannya dengan Islam dan Kesenian. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Norwani Nawawi. (1989). Malaysian Songket. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noorhaiza Noordin. (2009). Ukiran Kayu: Warisan Melayu. Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.