Laman Utama > Other > Panduan > Hikmah Melayu 2
  

Hikmah Melayu 2

Irama Melayu terdiri daripada lima rentak asas, yakni Joget, Zapin, Inang, Masri dan Asli. Antara alat-alat muzik yang dimainkan dalam muzik Melayu ialah rebana, gambus, biola, mandolin, gitar, rebab, dan nafiri. Namun, rebanalah yang dianggap sebagai 'ibu' irama Melayu dan merupakan alat muzik asas dalam menentukan irama yang ingin dimainkan.

rebana.jpg

Rebana berasal daripada 'rabbana' yang bererti 'Tuhan kami' dalam bahasa Arab. Rebana pada awalnya sering mengiring lagu-lagu yang bernuansa Arab  seperti hadrah dan qasidah. Meski demikian, penggunaan rebana terus bertahan sepanjang zaman kerana ia digunakan dalam muzik-muzik yang lebih kontemporari. Rebana simbolik sebagai detak jantung masyarakat Melayu dan berjaya berfungsi sebagai alat yang memupuk kesatuan dalam masyarakat Melayu. Hal ini dapat dilihat dalam peribahasa 'jika sengaja hendak bercekak pinggang, tinggallah rebana beralih ke gelanggang; tak tahu pipit tak tahu enggang, yang rapat kelak menjadi renggang'. 



gambus.jpg

Gambus merupakan alat muzik bertali yang berasal daripada Parsi, dan sering digunakan dalam muzik zapin dan ghazal. Alat muzik tersebut dipercayai telah memainkan peranan yang besar dalam meningkatkan rasa assabiyah atau kesatuan antara pedagang-pedagang Arab dan masyarakat tempatan sekitar hujung abad ke-13. Terdapat tiga jenis gambus, yakni gambus Hadramaut, gambus Seludang dan gambus Melayu. Gambus sering mengiringi alunan nyanyian ghazal dan kini semakin popular digunakan dalam genre irama Melayu nusantara.  





Rujukan
  • Sahaimi Abd. Manaf dan Ali Rahman. (1987). Rebana: paluan berirama. Selangor: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
  • Nik Mustapa Nik Mohd Salleh. (2009). Alat muzik tradisional dalam masyarakat, Melayu di Malaysia. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Malaysia.