Laman Utama > Other > Panduan > Hikmah Melayu 3
  

Hikmah Melayu 3

Jawa Wayang_Kulit_1890.jpg

Wayang Kulit amat jarang dipersembahkan dan dibincangkan di dalam konteks budaya Melayu Singapura. Namun, wayang kulit sebenarnya berpengaruh besar dalam membentuk falsafah dan kosmologi masyarakat Melayu. Antaranya termasuklah penekanan terhadap sikap rendah hati Pak Dogol dan Semar dalam wayang kulit Melayu dan Jawa, serta pohon budi sebagai lambang alam semesta. 









Pak Dogol and Semar-01.jpg
Pak Dogol merupakan Bentara Guru Agung dalam wayang kulit Melayu. Sekalipun merupakan ketua dewa-dewa, beliau telah menyamar sebagai manusia biasa untuk mengabdikan diri kepada Raja Seri Rama. Tanpa disedari Raja Seri Rama, Pak Dogol sebenarnya berasal daripada golongan yang lebih mulia. Pak Dogol berpegang teguh pada prinsip berkhidmat untuk masyarakat dan sanggup mencemar duli demi kemaslahatan masyarakat sekelilingnya. Hal ini sekali gus mengingatkan kita akan tanggungjawab dan amanah kepada masyarakat sekeliling, tidak kira pangkat mahupun darjat. Watak yang serupa turut dapat dilihat dalam Semar, watak yang serupa dalam wayang kulit Jawa. 





background-gunungan-wayang-9.jpg
Pohon Budi pula merupakan simbol bagi manifestasi ilmu dan zat ketuhanan yang berdiri teguh sejak azali. Setiap persembahan wayang kulit pasti bermula dengan pemaparan pohon budi dalam lenggang beringin sebelum diakhiri seluruh tayangan dengan pacak beringin. Perkara tersebut simbolik sebagai zat ilmu yang kekal abadi dan melampaui batas kehidupan sesebuah masyarakat. Pohon budi dapat dibahagikan kepada dua bahagian utama dan mencerminkan kepercayaan Melayu terhadap konsep dua elemen yang saling melengkapi antara satu sama lain. Hal tersebut serupa dengan konsep 'yin' dan 'yang' dalam budaya Cina dan mencerminkan falsafah budaya Melayu yang berpegang pada budi dan badi, tuhan dan hantu, syurga dan neraka dan sebagainya. Kononnya, kedua-dua perkara mesti hadir dalam dunia untuk memastikan kesejahteraan dalam hidup. Namun lebih penting lagi, penggunaan pohon budi sebagai pemula dan pengakhir panggung sekali gus mencerminkan kesedaran dan penghormatan kepada ilmu. 


Rujukan

  • Cawangan Dokumentasi dan Penerbitan. (2003). Wayang Kulit. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Malaysia.
  • Royal Netherlands Institute of Southeast Asian and Caribbean Studies. (1890). Wayang Kulit 1890. Diperolehi Mac 5, 2018, daripada Wikipedia Commons: https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/7/78/Wayang_Kulit_1890.jpg
  • Pemerintah Kota Pangkal Pinang. (2015, September 18). Pagelaran Wayang Kulit. Diperolehi Mac 5, 2018, daripada Pemerintah Kota Pangkal Pinang: http://pangkalpinangkota.go.id/pagelaran-wayang-kulit/