Laman Utama > Other > Panduan > Hikmah Melayu 4
  

Hikmah Melayu 4

IMG_3277.jpgPisang bukan sahaja merupakan sumber makanan bagi masyarakat Melayu tetapi mempunyai pertalian erat dalam konteks budaya dan kesusasteraan Melayu. Pantun klasik Melayu menyatakan, "Pisang emas dibawa belayar/ Masak sebiji di atas peti/ Hutang emas boleh dibayar/ Hutang budi dibawa mati". Orang Melayu juga mengambil iktibar daripada pohon pisang dengan mengingatkan diri supaya lebih berhati-hati dalam tindakan yang akan diambil supaya ‘pisang tidak berbuah dua kali’. Ini adalah hakikat alam.  Lantas, pokok pisang yang telah berbuah perlu ditebang untuk memberi ruang kepada pokok pisang yang lain untuk hidup subur dan berbuah.








IMG_3284.jpg

Ciri-ciri buah dan pokok pisang merujuk kepada khasiat dan nilai-nilai yang ditafsir oleh masyarakat Melayu. Pisang digemari dalam kalangan masyarakat Melayu dahulu atas sifatnya yang boleh diperam untuk jangka masa tertentu. Hal ini menjadikannya sesuai untuk dibawa sebagai bekalan dalam pelayaran jauh. Pisang turut kaya dengan khasiat yang dipercayai dapat mengawal penyakit mual dan mabuk laut. Pokok pisang mudah dijaga dan buahnya sesuai untuk dijadikan santapan beramai-ramai. Perihal tersebut sekali gus mengilhamkan peribahasa pisang sesikat, digulai sebelanga.



perlimau.jpg

Kegunaan pisang tidak terbatas kepada buahnya sahaja. Malahan, hampir keseluruhan pohon pisang dapat digunakan. Namun demikian, lebih daripada itu, pisang turut digunakan secara simbolik dalam proses perpaduan. Hal ini dapat dilihat dalam adat perlimau tapak atau majlis penerimaan murid dalam ilmu persilatan. Dalam hal ini, pisang dimakan dengan asam dan garam sebagai simbol perpaduan antara murid-murid seperguruan. Batang pisang pula turut berguna untuk membuang karat pada keris. 



Rujukan

  • Indirawati Zahid. (1995). Semantik leksikal dalam peribahasa Melayu. Department of Malay Studies. Kuala Lumpur: University of Malaya.
  • Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia Universiti Malaya. (2001). Adat Istiadat Silat Seni Gayong Malaysia. Diperolehi April 10, 2018 daripada Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia Universiti Malaya: http://onnjadi.tripod.com/adat.html.
  • Yunus Ujang. (2001). Peribahasa: Gambaran falsafah dan pemikiran Melayu . Department of Malay Studies. Kuala Lumpur: University of Malaya.