Laman Utama > Other > Panduan >  Hikmah Melayu 5
  

 Hikmah Melayu 5

colours.jpgWarna memainkan peranan yang penting sebagai simbol pemikiran dalam komunikasi visual bagi sesebuah masyarakat. Tidak menghairankan, terdapat pelbagai tokoh peradaban Melayu yang menerima pelbagai gelaran yang bersangkutan dengan konsep 'warna'. Antaranya termasuklah Daeng Chelak, Daeng Kuning, Merah Silu, Panglima Hitam dan Panglima Selimpang Merah. Tanpa disedari ramai, budaya Melayu tradisional hanya mengenal tujuh warna asas, yakni hitam, putih, merah, kuning, hijau, biru dan kelabu. Warna-warna lain dipandang sebagai variasi ketujuh-tujuh warna tersebut. Lebih penting lagi, warna memainkan peranan yang penting dalam budaya Melayu bagi menggambarkan pola pemikiran serta penanda darjat masyarakat tersebut.





Pola Pemikiran
masyarakat dapat kita telusuri menerusi nama serta jumlah variasi warna yang dikenali masyarakat Melayu. Hal ini dapat kita lihat pada warna merah yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 27 jenis variasi dalam budaya Melayu, yakni merah tua, merah muda, merah darah, merah darah ikan, merah hati, merah kesumba, merah kesumba muruk, merah jambu, merah pulut-pulut, merah lebam, merah malar, merah muruk, merah meran, merah marah, merah menjahang, merah menyala, merah padam, merah dadu, merah lembayung, merah pulasan, merah bunga raya, merah bunga cempaka, merah Melayu, merah telur, merah mawa, dan merah manggis. Warna-warna tersebut merakamkan kemampuan masyarakat Melayu untuk melihat dan menilai sebarang perkara dari pelbagai sudut dan perspektif. Selain itu, hal tersebut sekali gus menekankan kepentingan warna merah dalam budaya Melayu. Warna merah turut merupakan warna yang paling banyak dirujuk dalam karya-karya sastera Melayu tradisional dan simbolik dengan identiti Melayu.        



Darjat seseorang turut dapat dilihat melalui kaitannya dengan warna. Hal ini antaranya dapat kita lihat daripada gelaran 'Panglima Hitam', iaitu jawatan yang pernah hadir dalam beberapa istana Melayu. Antaranya termasuklah Istana Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Dalam hal ini, Panglima Hitam ditugaskan untuk menjalankan misi-misi khas bagi pihak Sultan. Demikian halnya, warna kuning dianggap mempunyai nilai yang lebih tinggi dalam minda Melayu dan hanya layak dipakai golongan tertentu. Menurut Sulalatus Salatin, warna ‘kekuningan larangan’ tidak boleh digunakan dalam apa jua bentuk sekalipun melainkan sebagai kain, baju dan destar. Bahkan, perhiasan rumah sekalipun tidak boleh menggunakan warna kuning diraja sebagai warna utama. Perihal tersebut sebenarnya dapat dijelaskan lewat akal rasional dengan kesedaran bahawa warna kuning merupakan warna yang paling dekat dengan warna keemasan yang ditetapkan untuk raja dan keluarganya.         



Rujukan
  • Asmah Haji Omar. (2005). Bahasa Malaysia Saintifik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka..
  • Che Husna Azhari. (1997, Julai). Teknologi Warna Alam Melayu. Akademika 51 , 53-63.
  • Sweetenham, F. (1922). Also and perhaps. London: John Lane
  • Syed Ahmad Jamal. (2010). Rupa dan Jiwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.