Laman Utama > Pengenalan > Mesej Pengarah Pusat
  

Mesej Pengarah Pusat

Salam sejahtera dan selamat tahun baru kepada para guru budiman

Kami bersyukur atas kurniaan-Nya, Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), Akademi Guru Singapura, Kementerian Pendidikan Singapura telah berjaya menjalankan pelbagai program peningkatan profesional bagi para guru Bahasa Melayu sejak penubuhannya pada Julai 2010.

Dengan rendah hati, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para guru atas sokongan padu yang diberikan kepada setiap program yang dilaksanakan pada tahun 2015.  Seramai 1,624 guru telah mengikuti 38 kursus yang telah dijalankan sepanjang tahun lepas.  994 guru lagi  telah menghadiri program tukikan termasuk Seminar Bahasa Melayu 2015, dua sesi Ceramah Arif Budiman dan dua Sesi Perkongsian Profesional. Selain daripada itu, 25 guru telah mengikuti Program Penyerapan di Brunei dan Pekanbaru.  Sementara 14 guru lagi dibimbing dan disokong untuk menyampaikan kertas kajian mereka di empat persidangan dan seminar serantau.  

Hal ini menunjukkan iltizam dan kesungguhan guru Bahasa Melayu untuk terus memperkaya ilmu dan mempertingkat kemahiran demi memperkasakan diri bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di negara kita. Kami amat menggalakkan para guru menggunakan ilmu yang telah diraih di sekolah dan kelompok sekolah masing-masing.

Sepanjang 2015 juga, MLCS telah menerbitkan tiga bahan kajian dan rujukan guru:  buku prosiding Seminar Bahasa Melayu 2015, Perkongsian Profesional: Membina Upaya Memperteguh Usaha dan Siri Ceramah Arif Budiman Jilid 3.  MLCS juga menerbitkan empat bahan bagi pelajar: Kad Kuiz: Awak tahu tak?, Pantun Anak Singapura: Generasi Abad ke-21, App Pintar Kata dan App Cerita Rakyat Nusantara.  Alhamdulillah, App Pintar Peribahasa yang diterbitkan pada tahun lepas telah meraih Anugerah Kepujian Innergy HQ 2015.  Semoga bahan-bahan yang diterbitkan telah membantu memperkaya kurikulum bahasa Melayu kita.

MLCS mengalu-alukan dan menguntaikan setinggi-tinggi tahniah kepada Cikgu Arshid Abdullah dan Cikgu Siti Faridah Omar atas pelantikan mereka sebagai Guru Pakar bermula pada 1 Januari 2016.  MLCS juga menghulurkan kalungan tahniah kepada Dr Fadilah Isnin yang dikurnia Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) bagi Anugerah Hari Kebangsaan 2015.

MLCS kini berusia lima tahun.  Dalam usia semuda ini, banyak yang telah dilakukan untuk para guru dan bersama-sama guru.  Melihat ke hadapan, kami mahu MLCS terus menjadi relevan dan bergerak maju seiring kalangan pengamal pendidikan BM dalam memperkasakan guru, mempercekap pelajar dan memperkaya kurikulum.  Kami amat mengalu-alukan maklum balas dan saranan para guru dalam meneruskan usaha menjadikan pusat ini sebuah pusat yang cemerlang bagi pembangunan guru.

Bagi 2017, MLCS telah melakarkan banyak kursus dan program tukikan untuk guru.  Kami harap para guru akan memohon untuk mengikuti kursus melalui TRAISI.  Pertahankanlah kegigihan dan kesungguhan serta usaha untuk meningkatkan keupayaan kita bersama-sama.  MLCS juga akan melancarkan dan mengedarkan bahan-bahan penerbitan 2017 tidak lama lagi.

MLCS adalah milik kita bersama dan antara aset bahasa yang kita punyai bersama dalam usaha kita terus membina kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran BM di Singapura.  Marilah kita merapatkan barisan untuk terus membudayakan kecemerlangan profesional dan mengukuhkan bahasa lambang jati diri kita.  Semoga guru dan anak didik kita menjadi insan Arif Budiman.

Terima kasih dan wassalam.

Mohamed Noh Daipi

Pengarah

Pusat Bahasa Melayu Singapura

Kementerian Pendidikan Singapura


English Version